20 Jun 2008

Cabaran Mendidik Anak Lelaki

Nampaknya, mendidik anak lelaki untuk menjadi manusia yang berilmu tinggi semakin mencabar akhir-akhir ini seperti apa yang laporkan oleh Utusan Malaysia:

Adakah salah anak atau ibu bapa? Mari kita sama-sama mencari jawapannya.


Kekurangan pelajar lelaki di IPTA kian serius

PUTRAJAYA 16 Jun - Kekurangan jumlah pelajar lelaki di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini semakin serius dan membimbangkan terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Aminah Ayob berkata, lebih mengejutkan lagi trend penguasaan golongan itu dalam bidang teknikal termasuk kejuruteraan di universiti awam kian merosot dan kini didominasi pula oleh pelajar perempuan.
''Untuk kelayakan ke bidang perguruan sahaja, sebanyak 70 peratus dikuasai pelajar perempuan... di manakah pelajar lelaki?

''Trend kekurangan pelajar lelaki ini sebenarnya tidak di UPSI sahaja, tidak juga dalam kursus bahasa dan perguruan, tetapi meluas di seluruh universiti yang turut meliputi bidang profesional dan teknikal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aminah yang merupakan bekas Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menghasilkan satu kajian berhubung kelemahan pendidikan di kalangan pelajar Melayu.

Antara hasil kajiannya mendapati 98 peratus ibu bapa tidak pernah melawat sekolah anak mereka dan 90 peratus lagi tidak melakukan pengawasan dalam hal tertentu termasuk menentukan anak-anak mempunyai peralatan persekolahan dan membuat kerja sekolah di rumah.

Kajiannya juga mendapati sikap pelajar Melayu terhadap pembelajaran kurang menggalakkan apabila didapati 73 peratus tidak suka membuat latihan tambahan, 50 peratus gagal menyelesaikan kerja rumah dan 48 peratus terlalu bergantung pada guru.
Menurut Aminah, Kementerian Pelajaran perlu mengubah teknik pengajaran ke arah yang lebih mengupayakan pelajar untuk menelaah dan berfikir.

''Kita jangan lagi bergantung kepada sistem peperiksaan yang berbentuk menghafal sebaliknya tukarkannya kepada teknik mengasah minda dan berfikir.

''Jika kekurangan pelajar lelaki di IPTA ini tidak ditangani dikhuatiri akan wujud ketidakseimbangan besar yang mengakibatkan penyertaan golongan itu dalam bidang profesional tidak menyerlah," katanya.

Tiada ulasan: