16 Jun 2008

Didik Anak Menabung

Didik anak menabung Oleh NORAINON OTHMAN norainon@hmetro.com.my

TERHIBUR mendengar cerita seorang rakan mengenai kisah anaknya yang dididik menabung wang. Ketika anaknya yang berusia empat tahun itu baru belajar mengenal duit dan mahu belajar menabung, habis semua duit syiling yang dijumpai dalam rumah dikutipnya dan dimasukkan dalam tabung lutsinar.Tidak cukup dengan itu, ketika semangat tengah berkobar-kobar, pantang nampak datuk atau neneknya memegang wang syiling, pasti akan dikeceknya untuk disimpan dalam tabung..

Sejak kecil anak perlu dididik menabung wang bagi mengajarnya sikap berjimat cermat dan menghargai setiap sen yang ada. Perkara itu tidak sukar jika dilakukan dari awal, ketika anak belum tahu nilai wang dan tidak pandai membeli barang yang diingininya.Ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak baru-baru ini, pasti ramai pening kepala memikirkan mengenai kenaikan harga barang, sekali gus memberi tekanan pada ekonomi keluarga.Inilah masanya kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja dan mengenalkan konsep menabung kepada anak. Kanak-kanak mungkin kurang faham mengapa perlu kita menyimpan wang.


Malah, ada yang berkata, “Kalau tak ada duit, pergi saja ke bank dan masukkan kad ke dalam mesin, keluarlah wang.”Mulakan langkah awal mendidik anak menabung dengan menghadiahkan anak sebuah tabung. Apabila anak mendapat wang daripada saudara-mara, pesan kepada anak supaya menyimpan wang berkenaan ke dalam tabung.Anak lebih seronok menyimpan jika melihat wang itu semakin bertambah.

Perasaan seronok itu lebih dirasai ketika mereka mendapat banyak wang pada hari raya.Apabila anak mula bersekolah, didik dia supaya menyimpan baki wang belanja sekolah setiap hari.Ada kanak-kanak tidak memahami konsep berjimat cermat dan berusaha menghabiskan baki wang yang ada atau membeli barangan yang disukai.


Sebagai orang tua, apa salahnya kita menyediakan tabung untuk diri sendiri dan menyimpan wang ke dalamnya setiap hari bagi menunjukkan contoh baik kepada anak.Berikan semangat untuk anak berlumba-lumba mengumpul wang hingga memenuhi tabung.

Tabung siapa yang penuh dulu akan diberikan hadiah iaitu dalam bentuk wang.Tunjukkan juga faedah menyimpan wang dengan menggunakan sebahagian kecil wang yang ditabung oleh anak untuk membeli barangan yang diingininya.

Cara itu dapat membantu anak mengenal susahnya mendapatkan wang dan mengajarnya menghargai sesuatu. Apabila tabung penuh, bawa anak ke bank untuk menyimpan wang berkenaan. Sedikit sebanyak anak akan mengetahui hala wang itu disimpan dan boleh digunakan untuk masa depannya nanti.

Konsep berjimat dan beringat ketika senang dengan menyimpan wang perlu ditekankan kepada anak kerana tidak sepanjang masa hidup kita dilingkari kesenangan. Bila tiba waktu susah atau kecemasan, beritahu anak, wang yang disimpan itulah yang akan digunakan.

Orang yang suka menabung dan menyimpan wang akan dapat menangani pelbagai masalah, khususnya kewangan dan menikmati hidup lebih selesa berbanding orang yang boros.TipKaedah didik anak menabung dan berjimat-cermat:

Berikan anak wang belanja ke sekolah dan baki wang syiling disimpan dalam tabung.
Hadiahkan tabung untuk menggalakkan anak menabung.
Bawa bekal ke sekolah

Tiada ulasan: