16 Ogo 2008

Ujikaji Marshmallow


Ujikaji atau eksperimen ini dijalan oleh Walter Mischel dalam usaha beliau untuk melihat perkaitan antara sikap kanak-kanak dan masa depannya.


Kaedahnya ialah, beberapa orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 4 tahun, diberikan marshmallow, tetapi mereka perlu menunggu selama 20 minit jika mereka mahu Marshmallow yang lain. Kaedah ini melihat, kesanggupan seorang kanak-kanak menunggu dan menahan godaan untuk menjamah marshmallow yang pertama dalam usaha mereka untuk mendapat lebih banyak marshmallow.


Keputusannya; ada kanak-kanak yang sanggup menunggu dan ada yang tidak.


Kajian lanjut dijalankan terhadap kanak-kanak tersebut dan didapati kanak-kanak yang sanggup menunggu dan menahan godaan didapati lebih berjaya dari segi emosi dan pencapaian yang lebih menyerlah ketika remaja berbanding kanak-kanak yang tidak sanggup menunggu.


Kajian ini membuktikan, kanak-kanak yang tidak mudah tergoda serta sanggup bersabar dengan pelbagai cubaan dalam usaha mendapatkan sesuatu yang lebih baik didapati lebih berjaya.


Ujikaji ini menunjukkan, jika anak-anak terlalu ghairah dengan kesenangan juga tidak membawa kebaikan. Malahan mereka perlu belajar menapis setiap kemewahan yang datang.


Kalau dahulu, datuk nenek sering bercerita, hidup mereka susah, cabaran hidup maha hebat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Anak-anak perlu bersabar dalam usaha memenuhkan kehendak dan keperluan mereka.


Kini, kisah begitu sudah jarang kedengaran. Anak-anak terutama yang lahir selepas merdeka, hidup agak senang berbanding datuk nenek mereka. Tidak perlu kerja keras, setiap diingini agak mudah diperolehi.



Membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang serba mewah dan senang, cabaran ibu bapa ialah memastikan, anak-anak tidak terlalu leka dan lalai dengan kemewahan itu.

Jika dulu anak-anak diajar bersabar dan tidak putus asa dengan cabaran dan kesukaran dalam mendapatkan sesuatu yang diingini, tapi kini, anak-anak perlu diajar erti susah dan jangan leka dengan kemewahan dan kesenangan yang melimpah.


Mereka perlu diajar menunggu dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini.

Zaman ini, ramai kanak-kanak yang mengawal tindakan ibu bapa mereka. Mereka akan menghentak-hentak kaki dan meraung hanya kerana diminta oleh ibu atau bapa mereka supaya menunggu sehingga ayah dapat gaji atau tunggu sehingga benda yang ada sekarang habis digunakan.

Perhatikan anak-anak anda, sanggupkan mereka menunggu ketika mereka menyuarakan keinginan mereka?

Jika mereka tarik muka atau enggan, tidak mengapa, mereka perlu disuntik rasa kekecewaan kerana di masa depan mereka, tidak semua hajat mereka dapat dipenuhi dan jangan mereka mudah mengalah hanya kerana beberapa hajat yang tidak tercapai.

Tiada ulasan: