Memaparkan catatan dengan label Petua Keibubapaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua Keibubapaan. Papar semua catatan

3 Feb 2009

Ejaan Itu Penting?

Dapat cerita ni daripada drama the Guardian.
Kisah perbualan antara seorang anak dan ayah.
Si ayah telah membaca karangan si anak dan dia mendapati anaknya mempunyai bakat mengarang. Tetapi dia terperasan satu kekurangan dalam karya anaknya itu. Terlalu banyak kesalahan ejaan. Beginilah dialog antara dua beranak tu;

BURTON I got a chance to look at your Gettysburg paper.
SHANNON: I worked real hard on that.
BURTON: Really hard.
SHANNON: Right. That’s what I said.
BURTON: Well, you got some great ideas in there. But, um, your spelling -your syntax is all over the map.
SHANNON: My teacher says spelling doesn’t
count.
BURTON: It counts, honey.
SHANNON: She says we should be free to express ourselves.
BURTON: Right. Well, that’s a lot of crap.
SHANNON: What?
BURTON: Well, spelling counts, honey. It’s important. You ever see a clown at an ice show? He looks like he can’t skate at all, but he’s very funny.
SHANNON: Yeah.
BURTON: Okay. Well, the reason he can do that is not because he’s a bad skater, it’s because he’s a very good skater.
SHANNON: I don’t get it.
BURTON: Well, if you wanna spell badly, first learn how to spell well, okay?

Adakah ejaan itu penting, anda boleh lihat pendapat ramai di sini
Bagi penulis, jika perkara kecil pun anda tidak boleh uruskan, bagaimana ingin selesaikan yang lebih besar daripada itu?

Zaman siber pun mementingkan ejaan, kalau alamat emel tersalah hatta satu huruf pun, kiriman itu tidak akan sampai. Kamus pun mementingkan ejaan.
Anda rasa anda boleh baca gambar di atas jika anda tidak tahu ejaan yang betul?

31 Dis 2008

Berjimat dan Berkongsi.



Sekarang ini zaman gawat. Keperitan telah mula dirasai di AS dan Eropah, Malaysia hanya menunggu masa. Pengguna di Malaysia telah mula mengamalkan sikap jimat cermat. Salah satu yang menarik perhatian penulis dalam artikel tersebut ialah, seorang surirumah yang mula mengubah corak pembelian, kalau dulu seorang anak satu permainan, tapi sejak gawat, satu permainan untuk semua anak. Anak-anak kena belajar berkongsi.




Jika difikirkan, bukankah itu satu amalan yang baik. Amalan yang patut dilakukan pada zaman tidak gawat sekalipun. Sejak akhir-akhir ini, sikap individualistik agak tegar di kalangan manusia moden. Hingga dalam pendidikan anak-anak pun kita serapkan sikap demikian. Kita sering membeli barang seorang satu untuk anak kerana tidak mahu mereka bergaduh dan berebut. Adakah sikap bergaduh dan berebut di kalangan adik beradik ini hilang kerana kita membeli setiap seorang satu barang walaupun barang tersebut barang yang sama?

Penulis percaya sikap itu tidak hilang kerana amalan demikian mengajar anak kita lebih mementingkan diri sendiri dan tidak tahu bertolak ansur apatah lagi berkongsi. Jika sedari kecil dan sesama adik beradik pun tidak boleh berkongsi, apaah lagi sikap itu dibawa hingga ke dewasa dan apabila anak mula bermasyarakat.


Berkongsi ini salah satu daripada kemahiran sosial. Ajarlah anak anda berkongsi walaupun barang yang paling dia sayang.


Ajarlah anak bahawa harta dunia ini jangan diletak di hati, tapi letaklah di tangan. Kelak budi juga yang dikenang orang. Budi juga yang jadi peneman di kubur.

Learning to share is a task that should begin early in life. Parents need to set a good example by not valuing their own things too highly or refusing to share them with others. Praise your children when they willingly hand over things to other kids, and remind them to do so when they forget.

20 Nov 2008

Menulis Diari Untuk Anak Anda


Lama betul tak menulis dalam blog ini.
Sebab sekarang sibuk menulis diari anak-anak.
Pernah terfikir untuk menulis diari untuk anak-anak?

Diari untuk anak ini ada dua

Satu; kita tulis diari menurut apa yang mereka sebut (sesuai untuk anak 3 tahun ke atas, sebab dah pandai cakap). Lepas tu baca semula apa yang kita tulis. Fungsinya serupa seperti luahan mereka cuma kita tolong tuliskan sebab mereka tidak pandai menulis.

Dua; kita menulis diari tentang anak-anak kita. Pandangan, pemerhatian, luahan dan pendapat kita sebagai ibu bapa terhadap anak-anak kita.

Diari jenis pertama ini, syarat tulis diari ini;


  • Syarat pertama mudah; tulis tarikh di sebelah atas. Ini cara mengajar mereka tentang masa.

  • Saya tulis dalam block letters, supaya jika mereka mencecah usia pandai membaca (5-6 tahun), mereka boleh membacanya. Jika tulis dalam tulisan tangan kita yang mungkin bersambung dan sukar di baca, merencatkan niat mereka untuk belajar membaca.

  • Tulis saja apa yang terluah dari mulut mereka. Kita tanya dan mereka akan jawab. Kita tulis apa yang mereka jawab sambil membetulkan sedikit sedikit tatabahasa mereka. Ayat biar ringkas dan mudah untuk kanak-kanak seusia mereka faham.

  • Selepas tulis diari tu, beri mereka pensel untuk tulis atau lakar apa saja yang mereka mahu. Itu diari mereka, mereka boleh buat apa yang mereka suka. Kita sekadar membantu.

  • Bagi anak yang baru pandai menulis, menulis diari menjadi latihan pengukuhan mereka menulis.

  • Tekal, cuba teruskan menulis sekurang-kurangnya 3 hari sekali jika tidak mampu hari-hari.

  • Tampal pelekat yang mereka gemari pada diari jika mereka lakukan sesuatu atau menerima sesuatu yang menggembirakan hati anda.

Diari jenis kedua, penting sebagai salah tinggalan kita untuk mereka. Jika kita tiada, mereka akan sentiasa merasa kasih sayang kita dengan membaca luahan, pandangan, pemerhatian kita terhadap mereka. Menulis diari ini juga salah satu cara menunjukkan kasih sayang pada mereka.


  • Nyatakan sebarang perkembangan mereka yang anda rasa begitu bermakna bagi anda dan anak anda. Contohnya; Hari ini Aliff sudah boleh menulis huruf 8 tanpa mengangkat pensel dan tanpa membuat dua bulat.

  • Tuliskan juga kekurangan atau sebarang sikap yang anda rasa mereka perlu ubah.

Diari ini penting untuk mereka menilai diri mereka sendiri baik di masa kini atau di masa hadapan. Ini sebagai satu cara untuk mereka belajar mengenali diri mereka sendiri.


Nak tahu lebih lanjut tentang kebaikan menulis diari dalam pendidikan anak-anak? klik

Penulis mendapat ilham untuk menulis diari untuk anak ini selepas membaca buku Cinta di Rumah Hassan Al Banna. Buku tentang keibubapaan Hassan Al Banna.

Buku ini adalah luahan anak-anak Hassan Al Banna tentang sikap Al Banna terhadap keluarga terutama anak-anaknya. Beliau bukan saja pendakwah yang hebat tetapi seorang bapa yang unggul.

Penulis akan menulis lebih lanjut tentang buku ini dalam posting seterusnya.

Tunggu.................

16 Ogo 2008

Ujikaji Marshmallow


Ujikaji atau eksperimen ini dijalan oleh Walter Mischel dalam usaha beliau untuk melihat perkaitan antara sikap kanak-kanak dan masa depannya.


Kaedahnya ialah, beberapa orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 4 tahun, diberikan marshmallow, tetapi mereka perlu menunggu selama 20 minit jika mereka mahu Marshmallow yang lain. Kaedah ini melihat, kesanggupan seorang kanak-kanak menunggu dan menahan godaan untuk menjamah marshmallow yang pertama dalam usaha mereka untuk mendapat lebih banyak marshmallow.


Keputusannya; ada kanak-kanak yang sanggup menunggu dan ada yang tidak.


Kajian lanjut dijalankan terhadap kanak-kanak tersebut dan didapati kanak-kanak yang sanggup menunggu dan menahan godaan didapati lebih berjaya dari segi emosi dan pencapaian yang lebih menyerlah ketika remaja berbanding kanak-kanak yang tidak sanggup menunggu.


Kajian ini membuktikan, kanak-kanak yang tidak mudah tergoda serta sanggup bersabar dengan pelbagai cubaan dalam usaha mendapatkan sesuatu yang lebih baik didapati lebih berjaya.


Ujikaji ini menunjukkan, jika anak-anak terlalu ghairah dengan kesenangan juga tidak membawa kebaikan. Malahan mereka perlu belajar menapis setiap kemewahan yang datang.


Kalau dahulu, datuk nenek sering bercerita, hidup mereka susah, cabaran hidup maha hebat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Anak-anak perlu bersabar dalam usaha memenuhkan kehendak dan keperluan mereka.


Kini, kisah begitu sudah jarang kedengaran. Anak-anak terutama yang lahir selepas merdeka, hidup agak senang berbanding datuk nenek mereka. Tidak perlu kerja keras, setiap diingini agak mudah diperolehi.



Membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang serba mewah dan senang, cabaran ibu bapa ialah memastikan, anak-anak tidak terlalu leka dan lalai dengan kemewahan itu.

Jika dulu anak-anak diajar bersabar dan tidak putus asa dengan cabaran dan kesukaran dalam mendapatkan sesuatu yang diingini, tapi kini, anak-anak perlu diajar erti susah dan jangan leka dengan kemewahan dan kesenangan yang melimpah.


Mereka perlu diajar menunggu dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini.

Zaman ini, ramai kanak-kanak yang mengawal tindakan ibu bapa mereka. Mereka akan menghentak-hentak kaki dan meraung hanya kerana diminta oleh ibu atau bapa mereka supaya menunggu sehingga ayah dapat gaji atau tunggu sehingga benda yang ada sekarang habis digunakan.

Perhatikan anak-anak anda, sanggupkan mereka menunggu ketika mereka menyuarakan keinginan mereka?

Jika mereka tarik muka atau enggan, tidak mengapa, mereka perlu disuntik rasa kekecewaan kerana di masa depan mereka, tidak semua hajat mereka dapat dipenuhi dan jangan mereka mudah mengalah hanya kerana beberapa hajat yang tidak tercapai.

3 Ogo 2008

Good Food Equals Good Brain Junk Food Equals Junk Brain

Kita adalah apa yang kita makan. Dalam sibuk-sibuk kita menggalakkan anak-anak supaya mencari ilmu, hantar anak tusyen sana dan sini, belikan anak pelbagai bahan bacaan tetapi dalam masa yang sama kita secara tidak sedar menjadi penghalang usaha mereka mencari ilmu dalam hidup ini dengan memberi mereka makan junk food.
Tony Buzan berkata;
"Also, your diet is important because the brain regenerates its cells from what you eat. Good food equals good brain; junk food equals junk brain,”
Pemakanan penting kerana otak menjana sel daripada apa yang kita makan. Makanan yang baik membentuk akal yang baik. Makanan ringan membentuk pemikiran yang lemah.

13 Jul 2008

Anak Anda Pandai Menaip?

Komputer penting? Tidak dinafikan lagi.

Bagaimana pula kemahiran menaip?

Memang tidak ramai yang tahu menaip dengan cara menaip yang betul tetapi tidak berhadapan masalah dalam menggunakan komputer.

Ada kisah seorang rakan, dia ada kelebihan iaitu, cepat menyelesaikan tugas. Waktu bekerja masih seperti orang lain, jarang kerja lebih masa kecuali keadaan yang mendesak. Tetapi dia cepat menyelesaikan tugasan (yang lazimnya melibatkan komputer). Malahan dia mampu memberikan lebih dari yang diminta dalam masa yang terhad. Apabila lama diperhatikan. Ilmuwan Muda melihat dia ada satu kelebihan, dia amat cekap menaip. Dia tidak perlu kerja lebih masa tetapi produktivitinya sama dengan mereka yang kerja lebih masa.

Kemahiran menaip mampu menjimatkan masa anda. Kenapa tidak ajar anak anda kemahiran ini. Dedahkan kemahiran menaip kepada anak anda dengan berlatih di sini. Laman web yang begitu menghiburkan sambil mengajar kaedah menaip yang betul.




6 Jul 2008

Dengarlah Kata-kata Anak Anda Supaya Mereka Mendengar Kata Anda

Mengapa ada ibu atau bapa yang hanya mengeluarkan sekali sahaja arahan, anak-anak boleh menurut kata-katanya dengan senang hati dan ada ibu bapa yang menyuruh berkali-kali tapi anak-anak masih liat melakukan apa yang disuruh? Adakah kerana ibu bapa yang mula-mula tadi garang? Jika garang, anak-anak akan melakukan arahan dengan muka yang mencuka dan hati yang tidak ikhlas. Itu tidak sihat.

Ilmuwan Muda terbaca kisah di bawah yang dipetik dari buku How To Win Friends and Influence People oleh Dale Carnegie.

Puan Millie Esposito sering mengambil serius setiap kali anaknya ingin mengatakan sesuatu padanya. Satu petang ketika duduk di dapur bersama anaknya, Robert dan selepas berbincang tentang sesuatu yang diusulkan oleh Robert, tiba-tiba Robert berkata, "Mak, saya tahu mak memang sayangkan saya. "

Puan Esposito tersentuh lalu membalas, "Mestilah mak sayangkan kamu, kamu meraguinya?"

Robert menjawab, "Tidak ragu cuma saya tahu mak memang sayangkan saya sebab setiap kali saya nak bercakap dengan mak, mak akan berhenti melakukan apa saja yang sedang mak lakukan dan dengar kata-kata saya."

Cuba dengar setiap kali anak anda memanggil anda dan cuba dengar dengan sabar dan penuh minat setiap kata-katanya. Jika ada ruang untuk bertanya, bertanyalah pada anak anda menunjukkan anda berminat. Walaupun perkara yang diperkatakan itu tidak penting langsung atau perkara yang remeh. Tetapi cuba lihat kesannya dalam perhubungan anda dengan anak anda.
Anda mendengar keluhan, luahan mereka, tidak mustahil mereka juga mendengar permintaan atau arahan anda.
Itu hukum alam, apa yang anda berikan, itulah yang anda terima.

28 Jun 2008

Puisi Membentuk Kemahiran Berbahasa

Kemahiran berbahasa adalah kemahiran kognitif paling awal yang kita berikan pada anak kita. Bahasa adalah alat asas dan paling berkesan dalam menjalin perhubungan. Hatta orang yang bisu sekali pun menggunakan bahasa; iaitu bahasa isyarat. Orang yang buta menggunakan braille untuk membaca.

Konflik sesama manusia atau miscommunication kerap berlaku kerana tersilap memilih perkataan ketika berkomunikasi. Berapa ramai orang diberi tanggapan yang silap hanya kerana memilih perkataan yang tidak sesuai dengan pendengarnya?

Begitulah pentingnya kemahiran menggunakan bahasa, sekadar tahu bercakap sahaja tidak cukup. Menggunakan bahasa yang indah mampu menjernihkan keadaan yang tegang. Menenangkan hati yang panas. Membuka peluang yang hampir tertutup

Jeniri Amir, pensyarah komunikasi di UNIMAS pernah memberitahu penulis, salah satu cara membentuk kemahiran berbahasa pada anak-anak ialah, perkenalkan anak-anak dengan puisi. Puisi yang baik lahir dari pengamatan yang luhur dan susun atur kata-kata yang indah. Biar anak belajar bermain perkataan melalui pembacaan puisi. Kita orang Melayu, kaya dengan puisi, sajak, syair dan pantun. Secara zahirnya nampak mudah tetapi jika dipupuk pada diri anak-anak sejak kecil, ia mampu membentuk kemahiran berbahasa yang cukup halus dalam diri anak-anak anda.

Kemahiran berbahasa adalah satu kemahiran yang amat berguna di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Sebagai langkah pertama, ayuh dendangkan lagu-lagu di sini untuk anak anda. Mana ada anak kecil yang enggan didodoikan?

16 Jul 2007

22 Perkara Pendidikan Untuk Anak-anak

Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.
Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan.Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.

Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan yang baik, ada beberapa perkara yang harus diamalkan:


1)Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
2)Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
3)Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
4)Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
5)Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
6)Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
7)Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
8)Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
9)Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
10)Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
11)Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
12) Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
13) Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
14)Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
15)Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
16)Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
17)Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
18)Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
19)Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
20)Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
21)Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
22) Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.

Perkara ini hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan didikan-didikan di atas, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Kita sudah sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan tersebut ke atas diri anak kita sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun.

Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak kita akan menjadi anak yang sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.

Koleksi ANIS / Oleh: Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Kaedah Umum Didik Anak Lelaki & Perempuan

Dari segi prinsip dan perkara pokok dalam didikan, mendidik anak lelaki dan anak perempuan sama saja. Tanggungjawab ibu bapa Mukmin dalam soal ini ialah memberi sebaik-baik didikan sebagaimana yang Allah dan Rasul kehendaki. Kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah – sama ada anak itu ‘menjadi’ atau tidak.
Kerana setiap kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. di hari akhirat nanti berkenaan amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan di pundak kita. Memberi didikan yang baik dan sempurna ini adalah hak paling utama bagi anak-anak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa.

Kesedaran ibu bapa secara mendalam terhadap hak pendidikan anak-anak ini sangat perlu dan penting bagi memelihara zuriat dan keturunan mereka daripada kehinaan, kerendahan dan kejahilan.

Untuk itu, ibu bapa perlu memahami paling tidak perkara yang dikira asas ilmu pendidikan itu sendiri. Dengan itu, tidaklah kita hanya menyerahkan bulat-bulat anak kita kepada sekolah dan guru-guru. Dalam soal mendidik anak lelaki dan anak perempuan, kaedah yang digunakan ada yang berbentuk umum dan ada yang berbentuk khusus.

Bila dikatakan kaedah umum, maksudnya ada kaedah pendidikan yang sama dikongsi anak lelaki dan anak perempuan. Kaedah khusus pula adalah kaedah yang hanya tertentu kepada anak lelaki atau anak perempuan sahaja – sesuai dengan fitrah, tanggungjawab dan peranan mereka yang berbeza.

Kaedah umum dalam mendidik anak-anak, baik yang lelaki atau perempuan, meliputi perkara-perkara berikut:


1. Mendidik iman dan akidah yang hak

a. Mengenalkan AllahLahir sahaja anak ke dunia, biarlah perkataan pertama yang didengarinya adalah sebutan nama Allah. Sebab itu disunatkan azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri bayi sama ada bayi lelaki atau perempuan. Sabda Nabi s.a.w.: “Bukakanlah (baca dan ucapkanlah) kepada anak-anak kamu kalimat pertama dengan La ilaha illallah.” (Riwayat al-Hakim daripada Ibnu Abbas r.a.)

b. Mentaati Allah Ini merupakan didikan iman paling asas selepas mengenalkan anak-anak kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w.: “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan. Sebab hal itu akan melepaskan mereka dari seksa neraka.” (Riwayat Ibnu Jarir)

c. Tidak mensyirikkan AllahIni penting untuk membersihkan akidah anak, sebagaimana nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Sehubungan itu, ibu bapa harus menanamkan pada jiwa anak-anak hakikat seluruh Rukun Iman yang enam dengan sebaik-baiknya.

2. Memberi nama yang elok dan melakukan akikah

Nama yang elok berperanan membentuk peribadi anak. Mengenai akikah, sabda Nabi s.a.w.: “Setiap anak tergadai akikahnya dengan disembelihkan akikahnya pada hari ketujuh kelahirannya. Pada hari itu ia dicukur dan diberi nama.” (Riwayat Imam Ahmad dan Imam yang empat)

3. Mendidik asas hukum syarak yang berkaitan dengan kehidupan sehariannya

Antaranya: a. Hukum-hukum Islam yang lima (wajib, sunat, harus, haram dan makruh). b. Mendidik batasan pergaulan dan auratIni termasuk memisah dan mengasingkan tempat tidur ibu bapa dan mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan.. Sabda Nabi s.a.w.: “….dan pisahkanlah tempat tidur mereka (setelah berusia 10 tahun).” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud dari Ibnu Amr Ibnil ‘As r.a.)

Nabi s.a.w. menekankan soal pergaulan dengan sabdanya: “Hindarilah kamu dari bercampur (secara bebas) dengan kaum wanita.” Anak juga mesti dididik dengan batas aurat terutama bila telah baligh.

Suatu ketika Asma binti Abu Bakar memasuki rumah Nabi s.a.w. dengan pakaian yang tipis, lalu Rasulullah s.a.w. menegurnya: “Wahai Asma, apabila perempuan telah mencapai (sampai) usia baligh, maka ia tidak boleh dipandang kecuali ini dan ini (baginda s.a.w. menunjukkan wajah dan kedua-dua telapak tangannya.”

4. Mendidik akhlak, adab dan budi pekerti

Ilmu tinggi tidak berguna kalau tidak beradab dan tidak berakhlak dengan Allah dan sesama manusia. Pastikan ilmu dan amalan anak-anak kita menghasilkan ‘buah’ yang masak ranum (akhlak terpuji). Sabda Nabi s.a.w.: “Elokkanlah namanya (anak) dan elokkanlah adabnya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Nabi s.a.w. bersabda lagi: “Tiada seorang bapa yang memberikan sesuatu kepada anaknya yang lebih bermakna daripada pemberian adab yang baik.” (Riwayat at-Tirmizi)

5. Mendidik anak tujuan dan matlamat hidup yang jelas
Anak-anak yang tidak ada tujuan dan matlamat hidup akan mudah terpesong dari jalan kebenaran dan mudah juga hanyut dalam arus duniawi. Matlamat hidup tak lain dan tak bukan ingin mendapat keredhaan Allah S.W.T. berpedomankan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Tujuan hidup atau tujuan kenapa Allah mencipta manusia perlu ditanamkan dalam jiwa dan minda anak-anak iaitu untuk berperanan sebagai hamba dan khalifah Allah di atas dunia.

6. Mewujudkan suasana yang soleh

Untuk melahirkan anak yang soleh, persekitaran tempat membesar dan tempat beraktivitinya juga kena ‘soleh’ (baik). Kena ada gabungan suasana ibu bapa yang soleh, rumah tangga yang soleh, guru-guru dan kawan-kawan yang soleh, bahan bacaan yang soleh dan paling penting sistem pendidikan yang soleh.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Ajarlah kebaikan kepada anak-anak kamu dan keluarga kamu dan didiklah mereka.” (Riwayat Abdur Razzaq dan Sa’id bin Mansur)

7. Memberi dorongan dan perangsang

Dalam al-Quran, Allah S.W.T. memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan balasan syurga seluas langit dan bumi. Janji-janji Allah ini hendaklah disemai di dalam jiwa anak-anak sehingga menjadi keyakinan dan pegangannya. Selain itu ibu bapa boleh memberi ganjaran dan kata-kata pujian dan kata-kata semangat di atas kejayaan dan kebaikan yang dicapai dan dilakukan oleh anak-anak.

8. Hukuman dengan niat mendidik

Setiap kesalahan anak-anak itu perlu diperbetulkan. Baru ia dapat mengambil pelajaran. Adakalanya dengan nasihat, teguran dan denda. Ada masanya dirotan dengan rotan yang tidak mencederakan.

9. Pemberian (perbelanjaan, hadiah dan sebagainya)

Pemberian kepada anak-anak hendaklah disamaratakan. Sabda Nabi s.a.w.: “ Samaratakan anak-anak kamu dalam pemberian. Maka sekiranya saya suka melebihkan seseorang, nescaya saya lebihkan perempuan.” (Riwayat Imam at-Tabrani dan Khatib) Mungkin sesetengah kita kurang mampu memberi sepenuh didikan kepada anak-anak kerana kurang ilmu dan sebagainya.

Di sini pentingnya anak-anak dihantar kepada guru yang lebih berkemampuan dan lebih berilmu. Itu pun, didikan yang asas tetap perlu bermula dari ibu bapa di rumah.

KOLEKSI ANIS / Oleh: Amaluddin Mohd Napiah


17 Jun 2007

Selamat Hari Bapa

Ilmuwan Muda ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada bapa-bapa di seluruh dunia...
berikut..satu artikel yg menarik untuk menjadi seorang Bapa yang Hebat !!

Ayah prihatin dapat tempat istimewa di hati anak
Oleh Umi Kalthum Ngah

JIKA anda seorang ayah, bayangkan bagaimana perasaan anda jika anak mengatakan: “Ayah! Ayah hebatlah!” Kata-kata ini hanya akan terkeluar daripada anak yang mendapat perhatian, bimbingan seorang ayah secara berterusan.

Banyak kajian menunjukkan, kelelakian seseorang anak lelaki banyak dipengaruhi daripada ayahnya yang menjadi ‘role model’. Kajian juga menunjukkan, anak yang terbabit dalam pelbagai masalah juvana adalah mereka yang tidak mendapat kasih sayang seorang ayah.

Bagaimana untuk menjadi seorang ayah yang hebat pada pandangan anak kita?

Tip berikut ditulis mengikut pandangan tulus ikhlas seorang ibu, tetapi anda bolehlah mengolah mengikut cita rasa tersendiri (iaitu naluri seorang bapa).

Lebih proaktif.

Sebagai ayah, anda perlu lebih berinisiatif. Jika tidak, amat malang kerana anda gagal memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan anak-anak, yang selayaknya diterima oleh seorang anak.

Bagaimana kalau kita ubah cara? Jika selalunya kita biarkan si ibu memujuk anak, atau kita mengelak diri daripada menukar lampin, apa kata kalau si ayah cuba ubah cara berfikir. Iaitu dengan mengatakan “Oh! Rasanya aku boleh buat ni!” atau “Okey!, sebenarnya aku kena juga melatih diri dengan kerja ni!”

Tidak salah kalau ayah mengakui kurang pengalaman dan kemudian meminta nasihat serta tunjuk ajar daripada isteri kerja-kerja yang berkaitan dengan pembangunan emo-si anak-anak.

Perlu banyak latihan amali.

Jangan sekali-kali mengandaikan pasangan anda serba tahu atau lebih tahu segala hal dari dirinya. Sesungguhnya, apa yang isteri anda ketahui atau lakukan dalam membesarkan anak, datang daripada pengalamannya.

Jangan lupa bahawa apabila kita selalu berlatih, kita akan menjadi bertambah baik dan cekap.

Bangga tentang hubungan istimewa anda dan anak.

Lelaki dan wanita mempunyai cara berbeza berinteraksi dengan anak-anak. Lelaki lazimnya lebih kasar dan agak 'fizikal' hubungannya dengan anak-anak, manakala wanita membina kemahiran bersosial dan lebih menghalusi emosi anak-anak.

Namun, jangan pandang rendah akan hakikat ini. Perlakuan secara fizikal dan kasar itu juga memperkayakan didikan emosi seperti ujaan dan stimulasi. Kanak-kanak yang mempunyai seorang ayah yang aktif secara fizikal, lebih popular dan berjaya dalam menjalin hubungan dengan kanak-kanak lain.

Sokongan emosi penting untuk anak-anak.

Interaksi secara fizikal, memainkan peranan penting dalam hubungan di antara ayah dan anak. Bagaimanapun, sokongan moral dan emosi jauh lebih penting.

Ayah perlu menyelami perasaan anak-anak supaya dia lebih peka dan secara tidak langsung, lebih empati kepada anak. Dengan itu, seorang ayah akan dapat menyiapkan diri untuk memberi bantuan moral dan sokongan secara emosi untuk anak mereka apabila keadaan memaksa.

Jadilah rakan kongsi anak, bukannya pembantu.

Paradigma lama yang menganggap ayah hanya sebagai pembantu, sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Ia adalah pemikiran lapuk dan tidak lagi sesuai pada masa ini.

Jika ayah mahu lebih terbabit dalam tanggungjawab membesarkan anak, mereka harus menanggung bersama tanggungjawab rumah tangga dan asuhan didikan anak.

Ayah yang sentiasa menunjukkan kasih sayang dan timbang rasa kepada ibu dan anaknya, akan dapat melahirkan perasaan dihargai oleh ibu, manakala anak pula akan timbul rasa hormat pada ayah.

Cari masa setiap hari, bukan sekadar masa hujung minggu.

Seorang ayah yang berkesan, akan terbabit secara langsung dalam membuat keputusan harian mengenai anak. Dia tidak membiarkan semuanya kepada isteri.

Jika tidak, ayah terbabit akan rugi kerana dia tidak sempat melalui cebisan hayat anak, yang walaupun nampak pada mata kasar amat kecil sumbangannya, tetapi sebenarnya memberi kesan besar dalam jiwa anak.

Seorang ayah yang sensitif, tidak sekali-kali mahu ketinggalan untuk mengambil tahu segala perkara mengenai anaknya. Contoh mudah adalah bercerita atau membacakan cerita kepada anak sebelum tidur atau sekali sekala memandikan mereka.

Hormati dan bertimbang rasa terhadap pasangan anda.

Seorang ayah yang prihatin akan menghargai dan memahami betapa pasangannya, cuba sedaya upaya melicinkan tugas hariannya di rumah. Dia akan menghormati segala keputusan isterinya ketika tiada di rumah.

Jangan pandang rendah komunikasi dengan anak.

Seorang ayah yang hebat, akan sedar betapa pentingnya kemahiran berkomunikasi dalam rumah tangga. Ayah harus cuba berbicara dengan anak, bukan sekadar bercakap kepada mereka. Ada perbezaan di antara kedua-dua perkara itu. Pertama, ayah berperanan sebagai teman berbual dan banyak mendengar, manakala keadaan kedua, ayah lebih kepada memberi arahan.

Jangan segan tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

Disebabkan terlalu sibuk, kadang kala seorang ayah akan cuba mengimbangi rasa bersalah dengan menghujani anak dengan hadiah sebagai pengganti diri. Mungkin kita terlupa, jiwa seorang anak amat mudah dan suci bersih. Malah, kebiasaan memanjakan anak dengan pemberian ini, adalah berbahaya dan lambat laun boleh merosakkan jiwa mereka.

Lazimnya seorang ayah berasa agak kekok menunjukkan belaian kasih sayang apabila anak meningkat dewasa, apa lagi ketika di khalayak ramai. Ini seharusnya tidak berlaku. Lihatlah bagaimana Rasulullah saw menunjukkan kasih sayang kepada anaknya dengan bangun menyambut kedatangannya, mengucup, memimpin tangan dan memberikan tempat duduknya kepada Fatimah. Sesungguhnya, kasih sayang sebegini akan memberi kesan mendalam dalam hati mereka.

13 Jun 2007

Kesilapan ibubapa didik anak remaja

Kesilapan ibu bapa didik anak remaja
Oleh Roha Hassan

LAPORAN akhbar Harian Metro bertarikh 1 Mac 2003 mengenai kumpulan punk menjadikan seks bebas sebagai sebahagian amalan mereka, sangat mengejutkan. Laporan itu antara lain menyiarkan pengakuan beberapa remaja yang bangga dengan pembabitan mereka dalam kumpulan itu.

Bagi mereka, ia adalah kumpulan yang memperjuangkan bangsa dan mereka tidak berasa bersalah, walaupun dipandang serong oleh masyarakat. Mereka gembira dapat menghabiskan masa bersama dan berpakaian berlainan daripada orang lain.


Sebelum ini, kita digemparkan dengan kehadiran kumpulan ‘Black Metal’ yang majoriti pengikutnya adalah remaja Islam. Begitu besar bahaya yang sedang melanda generasi remaja Islam kita masa kini.

Daripada saling menuding jari di antara satu sama lain, ibu bapa dan pihak berkuasa mesti berusaha meningkatkan kawalan terhadap remaja terbabit dengan kumpulan yang menjalankan kegiatan tidak sihat.

Ibu bapa mesti mengenali siapa rakan sebaya anak mereka. Ibu bapa mesti mendapatkan maklumat lanjut jika mengesan anak remaja mereka terbabit dengan mana-mana kumpulan atau geng.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui oleh ibu bapa dan masyarakat mengenai emosi anak remaja mereka, kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya ke atas remaja.

1. Keinginan naluri remaja itu sendiri.
Seorang ahli psikologi Barat, Carl Rogers (1985), berkata seseorang yang memasuki alam remaja akan mengalami beberapa perubahan ketara. Perubahan ini dengan jelas menunjukkan bagaimana rakan sebaya begitu penting bagi memenuhi tuntutan naluri seseorang remaja itu. Di antara perubahan itu ialah kecenderungan berkumpulan dan tidak suka dikongkong.

Dari aspek kecenderungan berkumpulan Rogers berkata, perubahan emosi dan fikiran mendorong remaja memperluas jaringan rakan sosialnya mengikut umur sebaya, hobi, prinsip hidup dan cara berpakaian yang sama.

Adalah perkara biasa pada tahap ini jika remaja dikesan ingin memiliki identiti tersendiri, walaupun ada di antara mereka yang kemudiannya mengalami krisis identiti. Perubahan ini adalah perkembangan sihat dalam pertumbuhan dan perkembangan mental remaja. Namun remaja boleh terjerumus ke dalam kegiatan tidak sihat jika mereka salah memilih kumpulan.

Remaja juga mudah berasa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru dan orang dewasa terlalu kuat dan boleh menghalang cita-cita mereka. Perbezaan pendapat dan gaya hidup di antara remaja dengan ibu bapa, guru dan orang dewasa akan mencetuskan rasa permusuhan dan berasa diri dikongkong. Ini kerana golongan remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang sedang bergelora.

Konflik harga diri ini menyebabkan remaja menjadikan rakan sebaya sebagai ‘tempat mengadu. Malah, mereka juga akan melakukan sesuatu yang drastik bagi membuktikan mereka boleh berdikari atau mampu bertindak seperti orang dewasa.

2. Ibu bapa dan ahli keluarga terlalu sibuk.
Ibu bapa yang terlalu sibuk tanpa mampu meluangkan masa secukupnya untuk mendampingi anak remaja masing-masing akan menyebabkan anak mereka mencari alternatif. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang dan tumpuan sewajarnya daripada ibu bapa dan keluarga, akan mendapatkannya daripada orang luar termasuk rakan sebaya.

3. Komunikasi kurang berkesan.
Komunikasi kurang berkesan juga menyebabkan remaja lebih selesa berkongsi masalah, suka dan duka dengan rakan sebaya.

Ibu bapa seharusnya membuka ruang yang lebih luas untuk mendengar permasalahan atau luahan perasaan anak remaja masing-masing. Cuba memahami naluri mereka. Kurangkan penggunaan kuasa sebagai ibu bapa untuk memaksa anak-anak mendengar atau mematuhi semua arahan.

4. Maruah diri.
Remaja yang berhadapan dengan masalah membabitkan nama baik keluarga dan maruah dirinya, yang memungkinkannya dihukum jika perkara ini dimaklumkan kepada keluarga, akan menggunakan rakan sebaya sebagai pendengar dan pemberi nasihat.

5. Kurang keyakinan.
Rasa kurang yakin terhadap diri sendiri, ibu bapa dan adik beradik turut menyebabkan remaja mencari seseorang atau sekumpulan insan lain iaitu rakan sebaya sebagai tempat bergantung atau berlindung.

Sikap acuh tidak acuh terhadap tanggungjawab sebagai ibu bapa dan ahli dalam sesebuah keluarga, menyebabkan anak remaja memandang rendah kemampuan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka berasa lebih selamat dan selesa apabila bersama rakan sebaya berbanding keluarga.

6. Sindrom kurang daya tahan iman.
Kurangnya pengetahuan agama menyebabkan jiwa remaja kekosongan. Jiwa yang kosong ini, jika tidak diisikan dengan perkara berfaedah atau kegiatan membina sifat-sifat positif, akan dipenuhi dengan unsur negatif yang membinasakan.

Bagaimanakah ibu bapa dan masyarakat dapat membantu remaja daripada terbabit dengan rakan sebaya dan kumpulan yang tidak bermoral ini?

1. Tingkatkan daya ketahanan iman remaja.
Dorongan menyucikan hati adalah unsur penting dalam melahirkan generasi remaja berakhlak baik atau salih. Menyucikan hati bermakna takziah an-nafsi iaitu membersihkan diri daripada maksiat.

Imam Al-Ghazali membahagikan maksiat kepada dua bahagian iaitu maksiat zahir dan batin. Suasana persekitaran yang wujud mempengaruhi rangsangan nafsu dan akal untuk menghasilkan tingkah laku remaja.

Pembabitan remaja dalam kegiatan berfaedah seperti kem ibadat, kursus kecemerlangan diri, sukan dan aktiviti sosial berkonsep keagamaan dan penerapan nilai murni, mampu membantu remaja membina personaliti unggul.

2. Berikan panduan memilih kawan.
Memandangkan begitu besar dan pentingnya kehendak naluri dan keperluan remaja terhadap rakan sebaya, ibu bapa harus memberi panduan kepada anak-anak untuk memilih rakan sebaya.

Ibu bapa mesti menyedari bahawa rakan sebaya mampu mendorong remaja ke arah kejayaan atau kemusnahan, dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Menurut Imam Al-Ghazali, berkawan dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata, adalah seperti meminum racun yang membinasakan.

Ini kerana tabiat manusia itu sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru tabiat rakannya tanpa disedari oleh orang lain. Bercampur atau berkawan dengan orang yang amat mementingkan hal keduniaan, akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia.

Sebaliknya, jika kita bergaul atau berkawan dengan orang yang zahid atau mementingkan hal keakhiratan, ia akan menarik hati kepada cintakan kezahidan, mensyukuri nikamt Allah dan memiliki rasa sayang pada diri yang tinggi, yang mampu menjadi benteng menepis perbuatan maksiat.

3. Didik anak supaya dapat membezakan di antara rakan sebaya yang baik dan jahat dan kumpulan yang baik atau sebaliknya.

Abu Sulaiman Ad-Darani berkata, jangan sekali-kali engkau bersahabat dengan salah seorang daripada dua yang berikut:
- Orang yang engkau senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal keduniaanmu.
- Orang yang engkau tidak dapat menambahkan faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu.

4. Sentiasa memantau siapa rakan sebaya anak.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar, iaitu mereka mesti memantau siapa rakan di sekolah atau dalam kawasan perumahan tempat mereka tinggal, yang sering didampingi oleh anak mereka dari semasa ke semasa.

Mereka perlu memerhatikan tingkah laku anak secara bijaksana untuk mengesan sebarang perubahan tidak sihat. Mereka mesti cepat bertindak jika mendapati anak remaja terbabit dengan kumpulan tidak sihat.

Selain itu, ibu bapa perlu berusaha memperkukuhkan ikatan kasih sayang dan kekeluargaan bagi memenangi hati anak remaja. Melalui cara ini, kita dapat memastikan anak tidak tersilap memilih rakan sebaya dan kumpulan.

8 Jun 2007

Mendidik Anak Pintar Quran



Oleh: Ustaz Kamal Mahyuddin Harun
Penyusun Siri Cepat Membaca Al-Quran – Al-Furqan

Harapan sepanjang zaman

“Timang tinggi-tinggi sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab”

Pantun nasihat seperti ini telah dialunkan sejak zaman berzaman, sebagai warisan nenek moyang kita bangsa Melayu, khususnya ketika si ibu mendodoikan anaknya dalam buaian. Secara tidak langsungn, pantun nasihat ini memperlihatkan harapan yang tinggi menggunung daripada setiap ibu bapa sejak dahulu lagi, supaya anak-anak mereka dapat membaca al-Quran seawal mungkin.

Persoalannya apakah cita-cita dan harapan tersebut telah tercapai, atau apakah kebolehan anak-anak untuk membaca al-Quran pada usia kanak-kanak yang belum memasuki alam persekolahan itu suatu yang mustahil atau terlalu sukar untuk dicapai.

Apakah belajar al-Quran itu susah?


Sekiranya belajar al-Quran itu susah atau perkara ini mustahil, kenapakah generasi awal Islam seperti imam as-Syafi`e, as-Sayuti, Ibnu Sina dan lain-lain lagi bukan sahaja dapat membaca al-Quran dengan baik pada usia kanak-kanak, malah telah menghafaz 30 juzuk al-Quran tersebut. Sehubungan dengan ini Allah SWT juga telah menegaskan di dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:

“…dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran itu untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pengajaran...”
(Surah al-Qamar, ayat: 13)

Ayat ini jelas menyatakan bahawa al-Quran itu merupakan suatu pelajaran yang senang dan telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk manusia mempelajarinya. Namun begitu tidak ramai yang menyahut seruan Allah SWT untuk mencari kaedah pengajaran yang sesuai dan seumpamanya. Majoriti masyarakat Islam menerima apa yang ada itu “seadanya”. Mereka beranggapan, kanak-kanak kecil itu masih hingusan dan tidak tahu apa-apa, masih belum mampu membezakan antara kebersihan dan kotoran (mumayyiz) dan sebagainya. Kanak-kanak pada tahap ini dianggap tidak sesuai untuk diajarkan al-Quran, kerana mereka tidak boleh memberikan tumpuan dan akan merosakkan al-Quran kerana mereka lebih suka bermain daripada belajar.

Mentaliti dan paradigma seperti ini perlu diubah kerana rakaman sejarah dan penemuan pelbagai bukti, fakta dan teknik terkini menunjukkan bahawa kanak-kanak perlu diajarkan al-Quran ini seawal yang mungkin. Kanak-kanak yang telah dapat membaca al-Quran pasti akan lebih cemerlang dalam pelajaran, berakhlak mulia dan lebih tenang menjalani kehidupan harian. Al-Quran yang dipelajari bukan sahaja merupakan mukjizat dan perlembagaan hidup agung, malah berperanan penting sebagai sumber dan asas kepada semua ilmu dan kemahiran-kemahiran yang lain seperti membaca Bahasa Melayu dan Jawi.

Peringkat awal kanak-kanak merupakan peringkat perkembangan yang berlaku dengan pesatnya, baik dari segi intelek, jasmani, mahupun rohaninya. Kanak-kanak tidak berhenti belajar tentang apa yang berlaku di sekelilingnya dan menjiwai setiap yang mereka pelajari. Inilah masa yang sesuai untuk mengajar, merangsang dan mendidik kanak-kanak dengan al-Quran. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mengajar kanak-kanak bagaikan mengukir di atas batu.

Antara penemuan dan fakta penting yang telah ditemui oleh pelbagai pakar, khususnya pakar kanak-kanak mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini ialah dari segi perkembangan potensi otak manusia pada peringkat kanak-kanak.

Peringkat ini merupakan tahap yang paling penting untuk merangsang dan meningkatkan keupayaan otak dan minda agar menjadi lebih cekap dan bijak melalui pelbagai bentuk rangsangan.

Salah seorang pakar yang banyak membuat kajian dan percubaan terhadap kecerdasan otak kanak-kanak, termasuk kanak-kanak cacat otak ialah Dr. Glenn Doman. Antara rumusan penting daripada kajiannya dan pakar-pakar yang lain ialah:

* Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar, mengkaji, mencuba dan menyelidik.
* Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran.
* Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.
* Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebih banyak menerima rangsangan pendengaran percakapan.
* Sekiranya ransangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca juga pada masa kanak-kanak itu dapat bercakap. Walau bagaimanapun kaedah dan suasana pembelajaran yang sesuai diperlukan.
* IQ akan meningkat dengan pesat bila dirangsangkan dalam peringkat ini dan tidak berkesan lagi bila dirangsangkan selepas peringkat ini.
* Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak.
* Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil.
* Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawati jika sel otaknya dirangsangkan sebelum umur persekolahan seperti yang dilakukan oleh pihak Nuri.

Berdasarkan pelbagai kajian pakar dan para ilmuan tersebut, amat penting sekali ibu bapa memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan seawal mungkin, khususnya pelajaran al-Quran. Para ibu bapa juga hendaklah memahami proses pembelajaran simanja yang berkesan seperti melalui ransangan, belaian sentuhan dan sebagainya.

Interaksi antara ibu bapa dan anak juga merupakan faktor utama yang membantu melahirkan anak pintar serta berkebolehan membaca al-Quran seawal mungkin. Lebih awal ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka, lebih bagus perkembangan si anak. Ramai anak yang cerdas dan pintar didapati mempunyai ibu bapa yang perihatin terhadap keperluan anak dan sering meluangkan masa untuk berinteraksi dengan mereka.RN

Mengajar Anak Membaca Awal

Bersama Othman Ahamad
Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy

Kepentingan membaca awal

“Budak 4 tahun boleh membaca? Hairan. Macamana pulak tu?” Itulah yang ibu saya katakan apabila membaca akhbar pada tahun 70-an dahulu yang telah menceritakan bagaimana seorang kanak-kanak lelaki telah dapat membaca surat khabar pada usia 4 tahun. Heboh juga satu negara dibuatnya sambil berbangga dengan pencapaiannya. Saya masih teringat lagi pada masa itu saya baru bersekolah dan baru pandai sikit-sikit mengeja apabila membaca. Dapat membaca awal pada usia yang muda pada masa itu masih ‘taboo’ dalam masyarakat kita. Sehingga 30 tahun kemudiannya, keinginan untuk melihat anak-anak dapat membaca sebelum bersekolah rendah masih tersangat kurang. Takut nanti bila bersekolah tak nak belajarlah, boringlah, sebab dah pandai dan macam-macam alasan lain.


Tetapi hari ini, membaca merupakan antara kemahiran asas yang paling penting yang harus dikuasai oleh anak-anak pada usia muda. Jelas pada hari ini, perkembangan dalam dunia pendidikan dan ilmu sangat berbeza. Kalau 30 tahun dulu kanak-kanak pada usia 5 dan 6 tahun masih leka dengan permainan anak patung dan aktiviti mengailnya, hari ini tidak lagi begitu. Kalau dulu ibu bapa berpuashati anak dapat membaca apabila telah memasuki darjah 2 dan 3, kini tidak lagi mampu senyum sendiri. Segalanya berubah sekarang. Cabaran dan perkembangan dunia ilmu sekarang semakin mencabar dan ‘demanding’. Oleh itu ibu bapa harus sedar bahawa menyediakan anak-anak dengan kemahiran yang asas yang sesuai untuk menghadapi zaman mereka sangat penting. Dan salah satu kemahiran asas tersebut ialah membaca.

‘Literasi bukanlah satu anugerah, tetapi ia adalah hak setiap kanak-kanak’. Begitulah bunyi ungkapan yang sering disebut di mana-mana kursus membaca. Membaca dan menulis bukanlah lahir bersama lahirnya anak-anak adam ini. Tidak ada bayi yang baru lahir dapat membaca apatahlagi menulis. Tetapi ia merupakan satu hak yang harus ditunaikan oleh ibu bapanya. Lihat sajalah apa jadi kepada remaja yang tidak dapat membaca dan menulis pada hari ini. Walaupun tidak semuanya, tetapi antara salah satu punca kegagalan dan keruntuhan akhlak mereka berpunca daripada kegagalan membaca dan menulis. Oleh itu ibu bapanya orang pertama yang harus dipersalahkan. Apa tidaknya. Ada seorang ibu baru menyedari anaknya yang berusia 14 tahun tidak dapat membaca! Selepas 8 tahun bersekolah, hari ini baru menyedarinya. Jadi apakah ini salah dirinya atau kurang prihatinnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya? Sebagai memenuhi tanggungjawab ini wajarlah ibu bapa hari ini mengajar anak-anaknya membaca pada usia awal lagi.

Bagaimana caranya?

1. Tanam minat membaca sejak lahir lagi melalui:

1. Penggunaan bahasa yang baik

Anak-anak yang baru lahir memang lumrahnya mula melihat sekelilingnya dengan penuh minat.

Antara perkara utama yang dipelajarinya ialah bahasa dan ucapan orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu ibu bapa haruslah bercakap dengan anak-anak mereka! Dalam satu kajian yang dibuat di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu, ibu bapa di KL hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama 7 minit seminggu! Bayangkan. Oleh sebab itulah kanak-kanak yang lambat dapat bercakap berpunca, di antaranya, daripada kurangnya komunikasi di antara ibu bapa dengan mereka pada usia kecil. Kesannya, anak-anak ini akan belajar berbahasa dengan bahasa rakan mereka atau bahasa yang dipertontonkan melalui program-program TV yang berupa karton dan sebagainya. Bahasa rojak ini tidak membantu membina kemahiran berbahasa mereka dan akan menyebabkan mereka kurang keyakinan apabila berbahasa atau apabila belajar membaca nanti. Oleh itu bercakaplah dengan anak-anak menggunakan bahasa yang baik, jelas dan santun.

2. Bercerita

Kanak-kanak sangat sukakan cerita. Mendengar cerita adalah antara aktiviti di rumah yang dapat menanam minat kepada buku. Saya masih teringat bagaimana seorang nenek membacakan sebuah buku cerita kepada cucunya yang baru berusia 6 bulan di atas keretapi bawah tanah di Toronto. Walaupun anak kecil itu masih belum dapat duduk dengan baik, dia sudah dibacakan buku cerita. Kanak-kanak seawal usia 12 tahun, apabila mereka mula memahami bahasa dan dapat bercakap, mula meminati aktiviti bercerita. Melalui aktiviti bercerita secara lisan, sebelum tidur terutamanya, sehingga membaca buku-buku cerita bergambar, minat membaca anak-anak dapat dipupuk. Mulalah dengan bercerita menggunakan buku-buku cerita yang cantik dan menarik lukisannya. Sambil bercerita, pastikan jari kita menunjuk kepada tulisan yang dibaca walaupun mata anak kita hanya melekat pada gambar-gambar di buku. Satu hari nanti dia akan sedar bahawa tulisan pada buku cerita itu sangat penting dalam menceritakan gambar yang dilihatnya. Melalui bercerita jugalah minat untuk membaca dapat dipupuk. Oleh itu tidak hairanlah kanak-kanak yang dirangsang dengan baik mempunyai minat untuk belajar membaca seawal usia 3 tahun lagi.

2. Memberi rangsangan yang sesuai

1. Bermain permainan yang mendidik

Ibu bapa yang penyayang sering membelikan bermacam-macam permainan kepada anak-anak mereka. Bagaimanapun, tidak ramai yang membelikan anak-anak mereka permainan-permainan yang sesuai dan membina kematangan berfikir dan psikomotor mereka. Biasanya , pistol dan senapang sahaja yang dibelikan kepada anak lelakinya ataupun anak patung sahaja yang dihadiahkan kepada anak perempuannya. Jarang sekali ibu bapa yang prihatin membeli permainan yang merangsang minda atau permainan yang melatih koordinasi mata dan tangannya. Sebenarnya permainan seperti Lasy, lego, atau permainan membina blok sangat penting untuk melatih koordinasi mata tangan dan melatih memberi tumpuan. Bahkan bermain sambut bola atau menangkap bola yang sedang bergerak juga amat berguna. Dua kemahiran ini, koordinasi mata-tangan dan memberi tumpuan, sangat berguna apabila anak kecil anda belajar membaca nanti.

2. Mewujudkan budaya membaca di rumah

Budaya yang baik di rumah sebenarnya dapat merangsang minat membaca. Pastikan setiap ahli keluarga mempunyai masa untuk membaca bersama, selain membaca al-Quran, supaya anak kecil anda dapat menghayati suasana tersebut. Ada sesetengah keluarga mewujudkan perpustakaan mini di rumah di mana-mana sudut tertentu. Selain membaca surat khabar , majalah dan buku-buku, ibu bapa haruslah bercerita dan berbual mengenai apa yang dibaca atau dilihatnya. Ini akan menarik minat anak-anak untuk mengetahui apa yang berlaku dan secara tidak langsung menimbulkan perasaan ingin membaca apa yang ditulis mengenai gambar atau tajuk berita.RN

5 Jun 2007

IBU






Mengajar anak anda tentang keseronokkan oleh Linda & Richard Eyre.
Dalam buku tersebut menyatakan satu kajian yang mendedahkan bahawa;
Ibu seorang kanak-kanak yang bijak tidak mengajar anak mereka sepanjang masa tetapi mengajar anak mereka hanya apabila anak-anak mereka MAHU belajar.
Kajian tersebut mengambil sample daripada kanak-kanak yang mempunyai persamaan dari segi latar belakang iaitu daripada keluarga yang baik, golongan kelas pertengahan dan mempunyai ibu yang menjadi surirumah sepenuh masa.
Satu kumpulan mempunyai IQ yang tinggi dan cemerlang dalam pelajaran manakala kumpulan yang satu lagi rendah IQ dan kurang cemerlang dalam pelajaran.
Matlamat kajian ialah menentukan di mana wujud perbezaan antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Para pengkaji mengambil masa untuk mencari jurang tersebut. Mereka gagal mencari di mana jurang tersebut ketika mengkaji persekitaran persekolahan hinggalah mereka memulakan kajian terhadap suasana rumah kanak-kanak tersebut.

Jurang perbezaannya ialah IBU mereka.

Ibu kepada kanak-kanak yang cemerlang dan tinggi tahap IQ mereka (Ibu kumpulan A) adalah seorang penasihat. Menyayangi anak-anak mereka tetapi memberi ruang kepada anak-anak mereka untuk membesar mengikut acuan anak-anak itu sendiri. Memberi kebebasan, menyediakan persekitaran yang menyenangkan dan memperuntukkan masa untuk anak-anak mereka (tetapi bukan keseluruhan masa mereka). Mereka mempunyai minat lain selain daripada anak-anak mereka. Tetapi ibu kumpulan A ini mempunyai pengetahuan mengenai kaedah didikan yang berkesan untuk anak-anak mereka dan membimbing anak-anak terhadap apa yang anak-anak mereka gemari dan membimbing ketika anak-anak mereka ingin dibimbing. Mereka memberi peluang untuk anak-anak mereka membesar.

Tetapi ibu-ibu daripada kumpulan C pula adalah ibu yang terlalu kerap membimbing, terlalu melindungi dan terlalu banyak mengajar anak-anak mereka sehingga mereka yang berfikir untuk anak-anak mereka. Mereka terus-menerus mengajar dan mendidik tanpa mengira sama ada anak-anak mereka berminat atau tidak. Mereka lebih banyak mengurus daripada menasihati anak-anak mereka. Akhirnya anak-anak mereka menjadi takut mencuba dan kurang keyakinan diri dalam mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah.

Ibu kumpulan "A" juga menyediakan persekitaran yang teratur, lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk anak-anak mereka belajar dan berfikir sendiri. Barang-barang atau peralatan yang merbahaya dialihkan. Persekitaran begini membolehkan anak-anak bergerak bebas dan pergerakan mereka tidak akan disekat dengan perkataan ‘Jangan’.

Sebenarnya ibu daripada kumpulan C lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak mereka tetapi masa itu dipenuhi dengan aktiviti mengurus, memaksa dan memprogram anak-anak mereka. Ini yang merosakkan IQ dan perkembangan anak-anak mereka. Anak-anak yang lemah IQ ini tidak nampak keseronokkan dalam kehidupan orang dewasa seperti yang dipaparkan oleh watak ibu mereka. Mereka tidak belajar untuk susah, tidak belajar menyelesaikan masalah, tidak tahu mengambil keputusan atau mencari peluang.

Paling menyedihkan ialah ibu-ibu kumpulan C ini beranggapan apa yang mereka lakukan ini betul. Mereka rajin dan sanggup berkorban. Mereka beranggapan bahawa kepentingan anak mereka lebih utama daripada kepentingan mereka sendiri.

Bagi ibu kumpulan A pula, mereka sedar 10 minit ketika anak mereka ingin menghabiskan masa bersama ibu mereka lebih bernilai daripada berjam-jam bersama anak mereka tetapi anak-anak mereka tidak berminat langsung.



KISAH SEORANG SAINTIS TERKENAL



Ingat, kita membela anak bukannya membela bunga!
Oleh Jack Canfield




Saya pernah mendengar cerita daripada Stephen glenn tentang seorang saintis terkenal yang banyak membuat penemuan-penemuan penting dalam dunia perubatan. Ketika itu beliau ditemu ramah oleh wartawan yang bertanya mengapa beliau berjaya dalam dunia penciptaan berbanding tahap pemikiran orang biasa. Apa yang menjadikan begitu cemerlang berbanding dengan orang lain?


Beliau menjawab bahawa itu semua adalah berpunca daripada pengalaman bersama ibunya ketika dia berusia 2 tahun. Beliau cuba untuk mengalihkan sebotol susu daripada peti sejuk. Keadaan botol susu yang licin menyebabkannya terlepas daripada genggaman beliau. Susu tumpah membasahi sebahagian besar dapur. Apabila ibunya masuk ke dapur, ibu beliau tidak menyergah atau meleteri beliau sebaliknya ibunya berkata, “Robert, hebatnya kau menyepahkan dapur hari ni, ibu tak pernah lihat selautan susu sebelum ini. Tapi perkara dah berlaku, nak main dulu dengan lautan susu ini sebelum kita kemas dapur ni?” Dan Robert bermain-main dengan lecah susu tersebut. Selepas beberapa minit ibunya berkata lagi, “Robert tahu bukan, bila dah sepahkan dapur begini, kamu kena kemas semula dapur ini. Macam mana nak kemas? guna mop, kain buruk atau span?”. Beliau memilih span dan beliau mengemas tumpahan susu tersebut bersama-sama ibunya.

Kemudian, ibunya berkata lagi, “Apa yang berlaku tadi ialah satu kaedah yang gagal dalam eksperimen untuk mencari kaedah terbaik untuk memegang sebotol susu yang besar dengan 2 tangan yang comel. Mari kita ke laman dan cuba isi botol dengan air dan kita cuba cari kaedah terbaik untuk memegangnya tanpa menumpahkan air dalam botol tersebut.” Kanak-kanak tersebut akhirnya menemui kaedah jika dia memegang berhampiran mulut botol dengan kedua-dua belah tangannya, dia boleh mengangkat botol tanpa menumpahkan airnya. Setu ilmu yang amat berguna!

Saintis terkenal menyatakan bahawa bermula saat itu dia sedar yang di tidak perlu takut jika terbuat silap. Sebaliknya kesilapan itu mengajarnya mencari kaedah yang terbaik serta mempelajari sesuatu yang baru. Itu adalah lakaran asas kehidupan seorang saintis yang hidupnya penuh dengan eksperimen. Walaupun eksperimen itu gagal, kita masih mendapat ilmu daripada kegagalan tersebut.

Alangkah bagusnya jika setiap ibubapa bertindak seperti yang telah dilakukan oleh ibu Robert tadi




 


Langkah Pertama Mewujudkan Suasana Iqra

Dipetik daripada buku “Parents Who Love Reading, Kids Who Don't - How It Happens and What You Can Do About It (Mary Leonhardt).” Dihuraikan oleh Ninuk Noviati Sachlin.Anda perlu menerima syarat di bawah untuk mewujudkan suasana rumah yang mesra Ilmu.

1. Membaca tidak memungkinkan rumah yang sentiasa bersih dan teratur.1.a) Kanak-kanak, terutamanya di peringkat awal membaca gemar menyepahkan buku.1.b) Bahan bacaan akan bertimbun ( buku, komik, majalah, suratkhabar).2. Membaca itu mahal2.a) Bersedia untuk berbelanja besar. Tidak ini bukan berbelanja tetapi ia adalah pelaburan. Atau pilihan lain, pinjam daripada perpustakaan atau beli buku-buku terpakai. Ajak anak-anak anda untuk ke kedai buku selain daripada kedai-kedai mainan. Kemudian beri mereka kebebasan untuk memilih buku yang mereka suka.
3. Membaca itu memakan masa3.a) 10-15 min/sehari dan di zaman serba canggih ini, masa itu berharga (rujuk perkara 2) ...3.b) Pada peringkat awal, kanak-kanak membaca teramat perlahan. Apabila sudah pandai mengeja, mereka akan cuba mengeja semua perkataan dalam buku. Bersabar, hargai saat-saat itu dan tumpukan perhatian anda pada mereka, jangan mendengar sambil lewa. Bila mereka dewasa, itulah antara saat-saat yang akan mereka dan anda kenang….3.c) Walauapapun, jadikan aktiviti membaca sebagai satu riadah yang sihat. IZINKAN mereka menyepah-nyepahkan ruang tamu atau bilik anda dengan buku. (Tidak mengapa, ….. sekali-sekala bersepah)3.d)Beri masa dan ketika untuk anak-anak anda jatuh cinta pada buku dan suka membaca.