Mengapa ada ibu atau bapa yang hanya mengeluarkan sekali sahaja arahan, anak-anak boleh menurut kata-katanya dengan senang hati dan ada ibu bapa yang menyuruh berkali-kali tapi anak-anak masih liat melakukan apa yang disuruh? Adakah kerana ibu bapa yang mula-mula tadi garang? Jika garang, anak-anak akan melakukan arahan dengan muka yang mencuka dan hati yang tidak ikhlas. Itu tidak sihat.
Ilmuwan Muda terbaca kisah di bawah yang dipetik dari buku How To Win Friends and Influence People oleh Dale Carnegie.
Puan Millie Esposito sering mengambil serius setiap kali anaknya ingin mengatakan sesuatu padanya. Satu petang ketika duduk di dapur bersama anaknya, Robert dan selepas berbincang tentang sesuatu yang diusulkan oleh Robert, tiba-tiba Robert berkata, "Mak, saya tahu mak memang sayangkan saya. "
Puan Esposito tersentuh lalu membalas, "Mestilah mak sayangkan kamu, kamu meraguinya?"
Robert menjawab, "Tidak ragu cuma saya tahu mak memang sayangkan saya sebab setiap kali saya nak bercakap dengan mak, mak akan berhenti melakukan apa saja yang sedang mak lakukan dan dengar kata-kata saya."
Cuba dengar setiap kali anak anda memanggil anda dan cuba dengar dengan sabar dan penuh minat setiap kata-katanya. Jika ada ruang untuk bertanya, bertanyalah pada anak anda menunjukkan anda berminat. Walaupun perkara yang diperkatakan itu tidak penting langsung atau perkara yang remeh. Tetapi cuba lihat kesannya dalam perhubungan anda dengan anak anda.
Anda mendengar keluhan, luahan mereka, tidak mustahil mereka juga mendengar permintaan atau arahan anda.
Itu hukum alam, apa yang anda berikan, itulah yang anda terima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan