Oleh ADHAM SHADAN
Lupakan seketika pensil warna, magic colour, cat air dan krayon dan terokalah keseronokan bermain pasir warna yang ditabur pada kad-kad yang bergambar dan bercorak.
PASIR telah lama dijadikan elemen kreativiti. Paling diingati, tentunya kenangan membina istana pasir di tepi pantai bertemankan baldi kecil dan pongkes plastik semasa kecil. Ternyata, pasir suatu medium yang mampu menyuntik keseronokan.
Tidak terhad kepada itu, permainan pasir semakin diperluaskan dalam pelbagai teknik dan kaedah. Bukan sahaja terdapat pameran membuat arca-arca kreatif daripada pasir yang disertai oleh pengarca-pengarca terhebat seluruh dunia, ia juga kini menjadi satu mekanisme untuk mewarna. Antara yang kian menarik perhatian ialah seni mewarna yang dinamakan seni pasir.
Bersesuaian dengan musim cuti sekolah ini, ia sememangnya suatu aktiviti yang menyeronokkan untuk diterokai kanak-kanak. Lupakan seketika pensil warna, magic colour, cat air mahupun krayon. Anda mungkin boleh menikmati keseronokan daripada aktiviti ini.
Seni ini juga semakin banyak dipromosikan di pusat-pusat membeli-belah. Antara pusat membeli-belah yang menawarkan aktiviti ini di Lembah Klang ialah Ikano Power Center, Jaya Jusco Kepong dan banyak lagi.
Tidak sukar untuk mengesan kewujudan 'permainan' tersebut di pusat-pusat membeli-belah. Jika anda melihat terdapat satu rak besi dua kaki yang menampung mangkuk-mangkuk plastik berisi pasir yang berwarna, itulah petandanya.
Mewarna dengan pasir bukan sahaja menyeronokkan
bahkan sesuai digunakan untuk pembelajaran.
Kalau dahulu, pasir yang kita kenali berwarna kelabu atau coklat, kini pasir diwarnakan dengan aneka warna. Ada hijau, merah jambu, merah, ungu, kuning, biru dan banyak lagi.
Pasir-pasir berwarna ini ditabur untuk mewarna objek pada kad-kad yang bergambar dan bercorak. Kad-kad tersebut berkonsep seperti pelekat, jadi pasir-pasir tidak akan tumpah setelah diwarnakan.
Mendasari aktiviti ini, Kosmo! telah mengunjungi sebuah kilang penghasilan produk pasir berwarna ini untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana proses pasir diwarnakan dan perkara berkaitan seni pasir.
Kunjungan ke kilang Euro Ritz Sdn. Bhd yang mengeluarkan produk seni pasir jenama Beezkidz di Puchong, Selangor mempertemukan kami dengan Pengarah Urusannya, Raymond Lee. Beliau yang telah sedekad terlibat dalam industri ini percaya mungkin hanya terdapat dua sahaja kilang seumpamanya di negara ini.
"Selain mempunyai pelanggan dalam kalangan pusat membeli-belah, sekolah-sekolah, kedai buku dan majalah di Malaysia, saya juga mengeksport ke luar negara seperti Singapura, Kuwait, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan sebagainya kerana permintaan yang banyak dari sana," katanya yang sempat melayan panggilan seorang pelanggan dari Australia semasa Kosmo! sedang menemubualnya.
Bercerita tentang prosedur penghasilan produk seni pasir, Raymond berkata, mereka akan menyediakan kad-kad bergambar dan bercorak terlebih dahulu.
Untuk menghasilkan rekaan-rekaan yang bermotif pelbagai seperti kartun, haiwan, peristiwa, huruf dan sebagainya, Raymond menggunakan khidmat seorang pekerja yang merupakan graduan dalam bidang rekaan grafik dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing.
Setelah rekaan siap, ia akan dilukis menggunakan mesin khas di atas kertas kadbod yang telah siap dilamina dengan kertas berpelekat. Ia menjadikan kad tersebut kelihatan seperti kad prapotongan berpelekat.
ABBY LEE meratakan garisan luar gambar dengan
pasir berwarna hitam.
Apabila bahagian rekaan selesai, barulah tumpuan diberikan kepada menghasilkan pasir warna. Menurut Raymond, proses mewarnakan pasir biasanya dilakukan dengan banyak secara sekali gus dalam satu-satu masa dan tidak sesuai dibuat dengan kerap kerana ia menyebabkan kilang dipalit debu. Bagaimanapun, kerja-kerja menghasilkan kad-kad rekaan perlu dibuat setiap hari di kilang yang sama bagi memenuhi permintaan berpanjangan.
"Bukan sebarangan pasir boleh digunakan untuk aktiviti ini. Pasir yang kami gunakan ialah pasir dari pergunungan di Sabah dan Sarawak. Pasir pantai tidak sesuai untuk mewarna kerana ia mempunyai zat garam," katanya sambil menggenggam pasir-pasir berwarna yang halus, yang masih belum dibungkus. Kilangnya menghasilkan 20 warna keseluruhannya.
Raymond memberitahu, pasir-pasir itu dibasuh terlebih dahulu sebelum diwarna. Ia diwarnakan dengan memasukkannya ke dalam satu mesin pengadun bersama-sama dengan pigmen warna berbentuk serbuk. Setelah itu, ia dikeringkan dengan kipas di dalam kilang.
Menyentuh tentang aktiviti seni pasir ini, Raymond berkata, ia satu kegiatan yang bukan sahaja menyeronokkan bahkan membantu pembelajaran dan mengasah daya kreativiti.
Kerana itulah, aktiviti ini turut dilakukan di kelas-kelas tadika. Raymond juga mengesyorkan ibu bapa untuk mendekatkan diri anak-anak dengan seni mewarna ini.
"Memang tabiat kanak-kanak suka main pasir. Daripada anak-anak main pasir yang kotor di tepi jalan atau di tepi longkang, lebih baik mereka bermain seni pasir ini. Dengan ini, mereka dapat mengalirkan kreativiti ke saluran yang betul," katanya sambil memberitahu produknya tidak beracun dan selamat digunakan serta mematuhi piawaian permainan kanak-kanak antarabangsa, EN-71.
"Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga sesuai bermain seni pasir. Selain motif kartun, kami juga mengadakan rekaan-rekaan bersesuaian dengan orang dewasa seperti logo persatuan bola sepak, tema Hari Kekasih dan sebagainya. Pendek kata, ia boleh dijadikan aktiviti seisi keluarga," katanya sambil menyaran agar seni pasir yang telah siap dihasilkan dibingkai dan dihias di kediaman.
Sambil kami berbual, anak-anak Raymond, Daniel Lee, 10, dan Abby Lee, 8, yang sedang bercuti sekolah asyik mewarna seni pasir di satu sudut kilang.
Walaupun penulis pasti mereka sudah berkali-kali melakukan aktiviti ini, namun sinar keterujaan tidak pudar pada wajah mereka.
"Memang seronok mewarna dengan pasir," kata Abby yang nampak lebih pantas mewarna sedang abangnya, Daniel masih berhati-hati mencungkil permukaan berpelekat pada gambar dengan sebatang lidi untuk membolehkan gambar itu diwarnakan.
Pada awalnya, mereka kelihatan membuka pelekat bahagian garis luar gambar sahaja untuk mewarna bahagian sempadannya dengan pasir berwarna hitam. Setelah itu, satu demi satu kawasan dibuka pelekatnya dan diwarnakan mengikut cita rasa mereka.
Menggunakan sudu plastik, pasir-pasir itu ditabur untuk mewarnai kawasan yang hendak diwarnakan. Untuk mengelak kekotoran atau comot di ruang aktiviti, mereka mewarna di atas mangkuk mengikut warnanya. Oleh itu, pasir yang tumpah dari kad akan masuk kembali ke dalam mangkuknya.
Tidak sampai 20 minit, kedua-duanya memperlihatkan hasil kerja mereka yang telah disiapkan sambil menguntum senyuman puas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan